Seramai 34,271 pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, berbanding 30,86 pelajar pada 2010, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.
  
Angka itu adalah peningkatan 0.75 peratus, katanya dalam sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011 di Putrajaya hari ini.
Calon yang mendapat minimum D (tidak termasuk semua A) meningkat kepada 272,966 calon (61.88 peratus) berbanding 265,388 calon (60.39 peratus) pada 2010.
 
Abd Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 6,474 calon (4.28 peratus) berbanding 5,825 calon (3.81 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.46 peratus.
 
Begitu juga dengan pencapaian pelajar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran terus meningkat 0.86 peratus, daripada 24,084 pelajar (8.86 peratus) pada 2010 kepada 26,189 pelajar(9.72 peratus) tahun ini.
 
Calon yang mendapat semua E menunjukkan trend penurunan -0.01 peratus bagi kedua-dua kategori iaitu daripada 249 calon (2010) kepada 216 calon (2011) bagi calon bandar dan daripada 132 calon (2010) kepada 121 calon 2011) bagi calon luar bandar.
 
"Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar," katanya.
 
Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang berkata keputusan PMR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh lapan tahun,
 
Beliau berkata pencapaian calon PMR bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.54 berbanding 2.59 pada tahun 2010 dan nilai GPN WP iaitu sebanyak 2.54  mengatasi GPN (2.71) yang juga pencapaian terbaik bagi peperiksaan PMR setakat ini.
 
Terdapat 22,449 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan jumlah yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah 2,296 calon, meningkat daripada 2,103 pada tahun lepas.
 
Enam sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (Sains) Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
 
Di KUALA TERENGGANU, keputusan peperiksaan itu menyaksikan peningkatan 1.15 peratus berbanding tahun lepas dan daripada 23,630 calon, 1,746 (7.8 peratus) memperolehi dalam semua mata pelajaran.
 
Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu Hashim Mohd Zin berkata, prestasi Gred Purata Negeri tahun ini meningkat kepada 2.57 berbanding tahun lepas 2.58.
 
"Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud pula menduduki tangga teratas 26 buah sekolah mencapai prestasi A atau sekolah berpencapaian tinggi (GPS 1.00 - 1.80), berbanding 25 buah tahun lepas," katanya.
 
Di SEREMBAN, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata seramai 12,566 calon sekolah kerajaan telah berjaya mencapai tahap penguasaan minimum (mendapat sekurang-kurangnya D) dalam semua mata pelajaran yang diambil.
 
"Ini merupakan satu peningkatan 1.7 peratus jika dibandingkan dengan pencapaian tahun 2010," katanya.
 
Pkharuddin berkata bilangan calon sekolah kerajaan yang berjaya mencapai keputusan penuh 9A, 8A atau 7A di negeri itu meningkat 220 orang kepada 1,707 orang calon, berbanding 1,487 pada 2010.