Tugas Pembimbing Rakan Sebaya(PRS)



  • Merapati rakan sebaya dan mengenal pasti mereka yang bermasalah dan merujuk mereka kepada guru bimbingan dan kaunseling.
  • Menjadi pendengar yang peka kepada curahan perasaan rakan sebaya dan memberi sokongan emosi dalam keadaan krisis.
  • Memberi penjelasan mengenai bahaya penggunaan dadah, arak, merokok, hubungan jantina, dan pencabulan kehormatan. Merujuk, jika perlu, kepada guru bimbingan dan kaunseling dengan persetujuan mereka.
  • Membantu pelajar yang menghadapi masalah akademik melalui sistem mentor atau tutor sebaya.
  • Membantu guru bimbingan dan kaunseling dalam aktiviti bimbingan dan kaunseling kelompok.
  • Membantu dalam memberi latihan kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan dan kemahiran kaunseling kepada rakan sebaya.
  • Membantu dalam melatih kumpulan sebaya untuk persediaan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya yang baru.
  • Membantu dalam aktiviti orientasi pelajar baru, mengelolakan unit bimbingan sekolah, perpustakaan bimbingan, papan kenyataan bimbingan dan aktiviti lain yang ada kaitan dengan bimbingan kerjaya, sosial dan isu-isu remaja.
  • Menjadi penggerak kepada ahli-ahli unit untuk melaksanakan aktiviti sekolah.




Peranan Pembimbing Rakan Sebaya(PRS)



Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) boleh membantu untuk meningkatkan lagi keberkesanan 
program bimbingan di sekolah. Pembimbing Rakan Sebaya merupakan satu tenaga positif 
untuk membolehkan program bimbingan mencakupi kelompok pelajar-pelajar yang mungkin 
sukar didampingi oleh guru bimbingan dan kaunseling atau guru-guru lain. PRS ini merupakan 
khidmat sokongan kepada Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
Golongan remaja boleh berkomunikasi dengan rakan sebaya mengenai masalah atau hal yang mengganggu mereka, dengan lebih mudah dan lebih berkesan lagi. Di tiap-tiap sekolah memang wujud sekumpulan kecil pelajar yang tidak boleh menerima dan membina perhubungan dengan orang dewasa dan pihak berkuasa sekolah. Pengaruh rakan sebaya dapat mempengaruhi golongan remaja ini. Oleh itu, dengan latihan dan asuhan yang sesuai, Pembimbing Rakan Sebaya hendaklah diwujudkan di sekolah. Nama-nama lain yang mempunyai sama konsep dengan PRS ialah Kaunselor Sebaya, Tutor Sebaya, Mentor Sebaya, Buddy, Kakak/Abang Angkat atau Kelompok Sebaya Sokongan.




Pasukan Pembimbing Rakan Sebaya(PRS)


Rasional
Kaedah dan pendekatan Bimbingan dan Kaunseling dapat mengisi atau merentasi setiap aspek pendidikan. Khidmat “murid membantu murid” dijangka lebih berkesan dan memahami curahan perasaan rakan sebaya mereka. Golongan murid ini wajar diberi pendedahan asas kaunseling. Kemahiran yang dimiliki itu diharap dapat menjadikan diri mereka sebagai pendengar yang empati dan rela memberi pertolongan dalam membentuk budaya sekolah. Sejajar dengan falsafah PRS ” Bantu Diri Untuk Membantu Orang Lain”, wajarlah PRS ini ditubuhkan untuk menjelajah potensi diri dan berusaha mempertingkatkan kemahiran, kepimpinan dan keupayaan menolong.


Matlamat
Penubuhan PRS diharapkan dapat membina kelompok pelajar yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi , mempraktikkan sistem nilai yang sihat sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dapat membantu Guru Bimbingan melaksanakan perkhidmatan menolong yang menjurus kepada pembentukkan budaya sekolah yang kondusif dan merangsang pembangunan manusia.



Objektif
Selepas program murid terpilih ini ;
1. Boleh menguruskan emosi dan sahsiah dengan kemahiran asas kaunseling.
2. Boleh menjadi PRS terlatih dan dapat menjadi pendengar yang baik dan berkeupayaan membantu rakan.
3. Boleh membantu guru bimbingan dan kaunseling memperluas khidmat melalui projek membantu yang dijalankan oleh PRS.
4. Boleh berinteraksi dengan berkesan bersama rakan sebaya serta dapat memberi pertolongan dalam mengatasi gejala disiplin di sekolah.